Enjin Carian :

Monday, July 19, 2010

MESYUARAT AGUNG LUARBIASA (EGM) KPKR

Untuk makluman kepada semua ahli KPKR, Mesyuarat Agung Luarbiasa KPKR akan diadakan sebagaimana ketetapan berikut :

Tarikh : 26 Julai 2010
Masa : 2.30 petang
Tempat : Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA.

Agenda Mesyuarat :

1. Ucapan YDP KPKR - Y.H Dato' Mujahid Bin Muhamad

2. Pertandingan Jawatan :

- Yang Di Pertua
- Naib Yang Di Pertua
- Setiausaha
- 2 AJK Induk
- 1 Wakil Ibu Pejabat dan wakil-wakil KPKR Negeri

(* jawatan yang dipertandingkan boleh berubah mengikut keadaan - hanya calon dari Gred 27 hingga 38 sahaja dibenarkan bertanding, pengundian dibuat secara angkat tangan)

3. Pembentangan Kertas Kerja Penubuhan Persatuan Pegawai Kanan RISDA (PPKR) untuk persetujuan ahli KPKR gred 40 ke atas.

Proses mesyuarat akan diterangkan secara terperinci semasa mesyuarat berlangsung.

Makluman tambahan :

Bagi semua ahli KPKR dari Pusat Tanggungjawab seramai 150 orang akan diminta hadir pada EGM tersebut yang mana pada sebelah pagi satu seminar akan diadakan kepada yang terlibat oleh Bahagian Latihan. Seramai 150 orang peserta seminar dan ahli mesyuarat EGM dari ibu pejabat akan dipanggil dalam Seminar yang sama.

Bagi semua ahli KPKR juga di minta membawa bersama semua dokumen tuntutan untuk Tabung Kebajikan KPKR (TK KPKR) bagi memberikan peluang terakhir tuntutan kebajikan yang boleh diberikan kepada ahli KPKR. Majlis Mesyuarat Kerja KPKR telah sebulat suara bersetuju semua ahli yang telah dilucutkan keahlinya pada 26 Julai 2010 ini tidak lagi layak membuat tuntutan ( bagi ahli dari gred 40 dan ke atas).

Tuntutan dari tabung kebajikan ini adalah seperti berikut :

1. Masuk hospital ( RM 20.00/hari) Maksimum 5 hari.

2. Pembedahan ( RM 100.00/ kali/tahun/penyakit)

3. Menunaikan fardu haji ( RM 100.00)

4.Kematian ahli atau suami/isteri/anak ahli ( RM 200.00-ahli / RM 100.00 - tanggungan)

5. Pelajar Cemerlang ( untuk anak anggota sahaja- untuk kadar sila rujuk artikel Keputusan PMR 2009 pada 13 Januari 2010)

6. Ahli Bersara ( Cenderamata bernilai RM 150.00) - ahli untuk 10 tahun.

* syarat umum untuk tuntutan 1 hingga 5 adalah telah menjadi ahli sekurang-kurangnya 6 bulan dan bawa dokumen yang di sokong oleh ketua jabatan.


Saturday, July 10, 2010

MAKLUMAN BARU MENGENAI MESYUARAT AGONG LUAR BIASA KPKR

Sehelai surat kuning telah dihantar kepada semua ahli KPKR pada 20 Jun 2010 bagi memaklumkan perjalanan Mesyuarat Agong Luar Biasa ( EGM) KPKR. Sebagaimana yang tuan-puan sedia maklum keperluan untuk kita mengadakan EGM ini adalah untuk menyerahkan tampuk kepimpinan KPKR daripada ahli Kumpulan A kepada Ahli Kumpulan B.

Seperti yang dicatatkan dalam surat tersebut, pihak pengurusan RISDA telah memutuskan bahawa KPKR ini hanya boleh disertai oleh Pegawai Gred 40 dan ke bawah sahaja. Secara tidak langsung, hanya pegawai gred 27 hingga 38 sahaja akan kekal dalam KPKR untuk terus menerajui dan menjalankan agenda membela kebajikan ahli.

Untuk makluman kepada semua ahli tarikh baru bagi EGM ini telah berubah ini adalah kerana keperluan ruang yang telah digunakan pada 22 Julai 2010 tersebut. Sedemikian ketetapan baru EGM KPKR adalah seperti berikut :

Masa : 2.30 petang
Tarikh : 26 Julai 2010 ( Isnin )
Tempat : Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA.

Majlis Jawatankuasa Kerja KPKR kini sedang dalam usaha berbincang dengan Bahagian Latihan untuk mengadakan majlis rasmi pada hari tersebut supaya ahli-ahli yang jauh bertugas dapat hadir sama dalam EGM ini. Pihak kami akan memastikan kourum mesyuarat akan diberikan lebih banyak kepada Kumpulan B. Ini membolehkan pemilihan Majlis Jawatankuasa Kerja yang baru ditentukan oleh ahli KPKR yang akan terus kekal.

Manakala, bagi ahli yang bertugas di ibu pejabat diharap akan dapat turut bersama dalam mesyuarat EGM tersebut walaupun tidak dapat bersama-sama dalam majlis rasmi pada sebelah paginya.

Perjalanan mesyuarat ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui laman blog ini.

Sekian, terima kasih.

Setiausaha KPKR 2009/2011

Sunday, April 25, 2010

KELOK PERUBAHAN : STATUS KEAHLIAN KESATUAN PEGAWAI KANAN RISDA (KPKR)

Bermula November 1981 apabila pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 diluluskan, isu keahlian Pegawai Kumpulan A dalam KPKR menjadi tanda tanya kepada semua ahlinya. Walaubagaimanapun, dimaklumkan pada ketika itu KPKR dikatakan tidak tersenarai Kesatuan-kesatuan Pegawai Kanan yang disemak oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dengan hal demikian, sehingga hari ini KPKR terus mekar diterajui dan diaktifkan oleh semua ahlinya tidak mengira gred mahupun kumpulan. Sepanjang tempoh itu pentadbiran KPKR telah bekerjasama secara terus dengan pihak pengurusan dalam memastikan kebajikan ahli-ahli KPKR terjamin sepanjang perkhidmatan dengan pihak RISDA.

Namun, pada tahun 2009 JHEKS melalui surat bertarikh 16 Julai 2009 mendapati Pegawai-pegawai KPKR yang telah dilantik merupakan pegawai kumpulan A ( Gred 41 ke atas). Sejak itu respon surat demi surat telah dikeluarkan oleh pihak JHEKS dan BPSM bagi mendapatkan keterangan dengan lebih lanjut. Berdasarkan respon tersebut, hanya kebenaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) sahaja dapat memberikan pengecualian kepada Pegawai Kumpulan A untuk terus menjadi ahli KPKR.

Pada 17 Februari 2010 melalui satu surat rasmi, KPKR telah mengemukakan permohonan tersebut kepada pihak KSN atas nasihat Yang Di Pertua KPKR, Y.H Dato' Mujahid setelah bertemu dengan KSN pada 6 Februari 2010. Secara rasminya pihak KSN melalui surat bertarikh 4 Mac 2010 telah memberi respon kepada permohonan tersebut. Kandungan surat tersebut berbunyi :

" Saya telah mempertimbangkan dengan terperinci permohonan ini dan memutuskan untuk :

i. tidak membenarkan Pegawai Kanan RISDA Gred 45 ke atas untuk menjadi ahli kesatuan ; dan

ii. membenarkan Pegawai Kanan RISDA Gred 44 ke bawah menjadi ahli KPKR menurut Seksyen 27(3)(aa)(i) Akta Kesatuan Sekerja 1959 dengan syarat mereka tidak memegang jawatan yang :

(a) boleh mempengaruhi dasar di RISDA; atau
(b) tugasnya menyimpan dan mengetahui rahsia di RISDA; atau
(c) merupakan jawatan Ketua/ Timbalan Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian di RISDA terutamanya mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber manusia ; atau
(d) menjalankan peranan keselamatan. "

Melalui surat ini pihak KPKR telah akur dengan keputusan yang dibuat oleh pihak KSN dan masih dalam perbincangan dengan pihak BPSM bagi membantu dalam menyelaraskan proses peralihan dari tampuk kepimpinan yang ada kini dengan yang baru...

Pihak KPKR menjangkakan proses peralihan secara rasmi akan dibuat pada sekitar Jun 2010 ini. KPKR akan terus memaklumkan semua ahli mengenai perkembangan status KPKR ini.

Sunday, April 04, 2010

ISU : ELAUN HOTEL TIDAK LAGI RELEVAN

Dalam kesibukan kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru bagi mengarah Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, isu berterusan peningkatan harga keperluan harian menjadi isu yang tidak dapat dipisahkan. Impak yang jelas dilihat kepada golongan berpendapatan kelas pertengahan seperti pegawai-pegawai kerajaan. Sememangnya ini tidak dapat dinafikan.

Walaubagaimanapun, perubahan ini dilihat seperti perlu dalam mengwujudkan fenomena kebersediaan dalam menghadapi era baru dalam peningkatan taraf hidup sosial rakyat Malaysia. Namun pada masa kini impaknya telah pun dirasai sedikit demi sedikit. Antara isu yang diketengahkan adalah kadar elaun hotel pegawai kerajaan yang dilihat tidak lagi relevan.

Satu isu berkaitan kadar elaun hotel yang rendah ini telah disuarakan oleh ahli KPKR sendiri, melalui wadah ini adalah diharapkan pungutan suara @ poll boleh dibuat didalam blog ini. Berdasarkan poll ini, pendapat ahli tehadap isu ini akan dapat dilihat. Kami memohon respon daripada semua ahli atas isu....... Elaun Hotel pada hari ini tidak lagi relevan....untuk bersama-sama dibincangkan.

Isu ini telah disuarakan oleh : Zanariah bt. Zainal Abidin dari PRD Kota Kinabalu.

Wednesday, March 03, 2010

CABARAN LELAKI

AGAK memeranjatkan apabila tiba-tiba isu penguasaan wanita dalam sektor awam didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Ini kerana isu dominasi kaum wanita dalam sektor pekerjaan di negara kita bukan suatu fenomena baru. Ia berlaku dan berterusan sekian lama, malah saban tahun jumlah wanita yang memperoleh peluang pekerjaan boleh lebih tinggi daripada kaum lelaki baik di sektor awam mahupun dalam swasta.
Dalam sektor awam sendiri misalnya mengikut data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga 19 Februari 2010 menunjukkan kaum wanita menguasai 63% daripada jumlah penjawat awam yang meliputi pelbagai kumpulan perkhidmatan. Sebagai seorang lelaki dan juga penjawat awam, penulis tidak sedikitpun berasa tergugat atau bimbang dengan senario itu. Ini kerana selama ini pun kita sedia maklum kehebatan kaum wanita di negara kita dalam pelbagai bidang. Kejayaan demi kejayaan mereka raih dengan cemerlang dan gemilang.
Jika kita kaji secara mendalam, ternyata kaum wanita lebih cerdik daripada kaum lelaki. Buktinya boleh dilihat apabila setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan baik UPSR, PMR, SPM mahupun STPM semuanya dikuasai pelajar perempuan. Mereka sering muncul sebagai pelajar yang memperoleh paling banyak ‘A’ dalam mata pelajaran diambil berbanding pelajar lelaki.
Situasi ini berterusan pula di peringkat pengajian tinggi dan akibatnya hampir 70% hingga 80% jumlah pelajar di setiap kampus terdiri daripada pelajar perempuan dan sekali lagi mereka juga muncul pelajar terbaik di setiap konvokesyen IPT masing-masing.
Ini menunjukkan kaum wanita mudah mengatasi kaum lelaki dari segi pencapaian akademik maka tidak hairanlah apabila mereka juga terus mendominasi sektor pekerjaan kelak bila tamat pengajian. Seperti kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pelantikan ke sektor awam berdasarkan merit dan bukannya berdasarkan jantina maka sudah semestinya graduan wanita yang cemerlang akan mendapat peluang lebih baik terpilih ke sesuatu jenis pekerjaan.
Majikan swasta juga dewasa ini dilihat tidak mempunyai sebarang masalah memilih dan memberi kepercayaan kepada kaum wanita menyandang sesuatu jawatan dalam organisasi mereka.
Oleh demikian, walaupun kebimbangan Cuepacs tetap ada asasnya, namun baik pihak Cuepacs mahupun kaum lelaki itu sendiri sewajarnya melihat keadaan ini dari sudut dan perspektif yang lebih positif dan terbuka.
Anggaplah ia satu cabaran kepada kaum lelaki terutama remaja dan belia yang bakal memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu cemerlang dalam akademik jika mahu bersaing dengan kaum wanita.
Namun, apa yang berlaku sekarang cukup menyedihkan kebanyakan lelaki muda terbabit dalam gejala kurang sihat seperti merempit dan dadah. Akibatnya jumlah kaum lelaki di penjara dan pusat serenti boleh dikatakan melebihi bilangan kaum lelaki yang ada di IPT di seluruh negara.
Jika keadaan ini berterusan maka agak mustahil untuk kaum lelaki bersaing dengan kaum wanita. Kaum lelaki perlu cepat sedar dan melakukan anjakan paradigma jika mahu terus kekal bersaing dengan kaum wanita. Persaingan ini pula perlulah dilihat sebagai suatu persaingan sihat demi masa depan negara yang gemilang.
Walau apapun kita wajar merakamkan ucapan terima kasih kepada Cuepacs kerana membangkitkan isu ini kerana sekurang-kurangnya pendedahan ini boleh menyedarkan kaum lelaki. Penulis mengharapkan kaum lelaki khususnya golongan muda akan sedar seterusnya berusaha keras untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum wanita bagi memajukan negara.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
.


Dipetik dari Harian Metro melalui laman blog CUEPACS.

Thursday, February 11, 2010

CUEPACS TUNTUT OVERTIME DIBAYAR DENGAN BAYARAN TUNAI

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lalu. Katanya, untuk setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti."Kami menganggap ia satu ekspoitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja dan menjejaskan produktiviti mereka," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, untuk menyelesaikan isu itu. Bernama difahamkan langkah sedemikian dilaksanakan untuk "mengurangkan kos" dan juga untuk "meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan" jabatan berkenaan.Seorang ketua jabatan berkata, sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan memerlukan kerjasama kakitangan untuk bekerja lebih masa. Katanya, disebabkan peruntukan untuk kerja lebih masa tidak mencukupi, jabatan memperkenalkan sistem menawarkan cuti. "Kecuali untuk beberapa orang pekerja, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang," katanya. - Bernama

Tuesday, February 02, 2010

CUEPACS MINTA BICANG ISU PERSARAAN PILIHAN

KUALA LUMPUR: Cuepacs akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam. Presidennya, Omar Osman, berkata perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.

Beliau berkata Cuepacs juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya."Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (Cuepacs) tidak tahu tentangnya ... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.

Omar berkata bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka."Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen...tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja," katanya. Katanya, beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan. Beliau berkata kerajaan harus memahami masalah penjawat awam kerana kebanyakan mereka yang memohon berhenti awal bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi akibat beberapa kesulitan kehidupan. "Jika kerajaan beri 50 peratus daripada ganjaran, eloklah sikit, contohnya kalau ganjaran sebenar RM80,000 maka dapatlah dia RM40,000. Beri RM10,000 nak buat apa, satu jam sahaja boleh habis. Oleh itu, kita minta kerajaan kaji semula semula perkara ini," katanya. - Bernama

Wednesday, January 13, 2010

KEPUTUSAN PMR 2009

Sebagaimana yang semua ahli KPKR telah sedia maklum, keputusan PMR 2009 telah dikeluarkan pada Disember 2009 yang lalu. Berdasarkan peruntukan yang ditetapkan dalam Tabung Kebajikan Kesatuan Pegawai Kanan RISDA (TKKPKR) semua ahli adalah layak untuk memohon Hadiah Pelajar Cemerlang di atas kejayaan anak-anak anggota KPKR yang telah memperolehi sekurang-kurangnya 7A dalam PMR yang lalu.

Sedemikian, di pohon kerjasama semua ahli yang layak ( menjadi anggota selama 6 bulan) untuk membuat permohonan Hadiah Pelajar Cemerlang ini sebelum 30 Januari 2010 untuk serahan secara pukal.

Berikut adalah saguhati yang disediakan oleh pihak KPKR :

UPSR : 5 A (RM 30.00)

PMR : > 7 A ( RM 50.00)

SPM : > 6A (RM 100.00)

STPM : > 3A (RM 150.00)

Diploma : CGPA > 3.5 ( RM 150.00)

Ijazah : Kelas Kedua Ke Atas ( RM 200.00)

Permohonan bagi lain-lain keputusan yang belum pernah dituntut juga boleh dibuat. Permohonan boleh dibuat dengan disertakan keputusan peperiksaan yang telah disahkan dan dihantar kepada Setiausaha KPKR di alamat Bahagian Produktiviti dan Pemasaran, Tingkat 6, Bangunan RISDA, Jalan Ampang, 50990 Kuala Lumpur.

Sekian, Terima kasih.

MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ) BIL. 4 TAHUN 2009

Bersama-sama ini disertakan Teks Ucapan yang dibacakan oleh NYDP KPKR dalam Mesyuarat MBJ Bil. 4 Tahun 2009 :


Tarikh : 24 Disember 2009 (Khamis )
Masa : 8.00 malam
Tempat : Executive Meting Room 1, Tingkat 2, De Palma Hotel, Ampang Selangor.

1.0 Ucapan YDP

1.1 Pertamanya, pihak KPKR ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak BPSM yang sudi mengadakan Majlis Mesyuarat Bersama Jabatan Kali ke-4 bagi tahun 2009.

1.2 Mesyuarat seperti ini dilihat masih lagi relevan sebagai wadah bagi menyampaikan hasrat semua kakitangan RISDA kepada pihak pengurusan. Jelas pihak pengurusan RISDA amat menitik beratkan kebajikan pegawai dan kakitangan mereka.

1.4 Pihak KPKR juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2010 dan Selamat Bercuti.

2.0 Isu MBJ

2.1 PELANTIKAN PEGAWAI BARU

2.1.1 Tahniah kepada BPSM yang telah selesai membuat pelantikan pegawai-pegawai baru.
2.1.2 Diharapkan Pegawai-pegawai yang dilantik ini akan dapat mengurangkan bebanan tugas pegawai-pegawai kita yang sedia ada.
2.1.3 Walaubagaimanapun, pihak KPKR berharap agar pihak BPSM dapat menyenaraikan keputusan pelantikan kepada ahli mesyuarat untuk melihat kategori lantikan pegawai ini samaada dari kalangan kakitangan, anak kakitangan dan lain-lain.
2.1.4 Pihak BPSM dilihat dapat melihat dasar kouta untuk anak kakitangan dibuat dalam lantikan pegawai RISDA.

2.2 PENEMPATAN TEMPAT BERTUGAS KAKITANGAN

2.2.1 Penempatan kaikitangan secara besar-besaran juga dilihat berlaku sekitar pertengahan Disember dan Awal Januari akan datang.
2.2.2 Dalam pemilihan pemindahan kakitangan diharap pihak BPSM dapat menimbangkan semula penempatan pegawai-pegawai ini supaya yang telah berkeluarga diberi keutamaan untuk dekat dengan keluarga mereka.
2.2.3 Manakala pegawai yang baru dilantik akan dihantar ke Pusat Tanggungjawab di Daerah mengikut jawatan mana-mana yang sesuai.
2.2.4 Ini diharapkan dapat meningkatkan produktiviti dan motivasi pekerja.

3.0 PENUTUP


Terima kasih sekali kepada pihak pengurusan dan diharapkan isu dan cadangan yang dibentangkan ini dapat membantu dalam meningkatkan efisiensi operasi RISDA secara keseluruhannya.

MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ ) BIL. 3/2009

Bersama-sama ini adalah teks ucapan yang dibacakan oleh YDP KPKR dalam Mesyuarat MBJ Bil. 3 Tahun 2009 :


Tarikh : 4 Disember 2009 (Jumaat )
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Hevea 3, Tingkat 1, Bangunan RISDA.

1.0 Ucapan YDP

1.1 Pertamanya, pihak KPKR ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak BPSM yang masih sudi mengadakan Majlis Mesyuarat Bersama Jabatan Kali ke-3 bagi tahun 2009 walaupun kita telah berada di penghujung tahun, majlis mesyuarat seperti ini dilihat masih lagi relevan sebagai wadah bagi menyampaikan hasrat semua kakitangan RISDA kepada pihak pengurusan. Ini juga menunjukkan betapa pihak pengurusan RISDA amat menitik beratkan kebajikan pegawai dan kakitangan mereka.

1.2 Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua yang hadir dalam Majlis ini dan semoga raya kali ini membawa lebih makna berbanding yang sebelumnya.

1.3 Kini kita telah sampai ke penghujung tahun 2009, hanya tinggal berbaki 17 hari bekerja sahaja pada tahun ini sebelum berakhirnya tahun 2009 ini. Rasanya dalam Musim cuti sekolah ini ramai di antara kita akan mengambil cuti hujung tahun bagi menghabiskan masa bersama keluarga namun komitmen kerja masih harus tetap dijadikan keutamaan manakala bagi pihak KPKR, kami bersedia untuk terus membantu pihak pengurusan dalam memastikan sektor pekebun kecil terus terbela.

1.4 Pihak KPKR juga ingin mengambil kesempatan yang sedikit ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijriah 1431 H dan tahun baru masihi 2010.

2.0 Isu MBJ

2.1 PSOR 2009
Terima kasih kepada pihak Pengurusan terutamanya BPSM kerana masih meneruskan usaha untuk merancang dan melaksanakan PSOR 2009. Walaubagaimanapun, Pihak KPKR berharap agar satu pembentangan bagi PSOR 2009 yang telah dibuat dapat dibentangkan terlebih dahulu kepada wakil-wakil KPKR dan KPPR supaya dapat bersama-sama membantu BPSM dalam menetapkan norma penjawatan yang sesuai mengikut keperluan operasi di semua Pusat Tanggungjawab.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, cadangan PSOR yang asal dilihat tidak memberi keutamaan kepada norma tugas dan bebanan Pusat Tanggungjawab sebaliknya bergantung kepada permintaan Pusat Tanggungjawab. Pembentangan ini dirasakan perlu bagi mengelakkan pengwujudan norma penjawatan yang tidak sesuai dan sekaligus tidak dapat membantu dalam pelaksanaan kerja yang lebih efisien dan berproduktiviti tinggi.

2.2 PELUANG KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI G 32
Baru-baru ini seramai 21 orang G 27 telah dinaikkan pangkat secara KUP kepada gred G 32 dan saya mewakili ahli KPKR mengucapkan ribuan terima kasih di atas kecekapan BPSM melaksanakan kenaikkan pangkat tersebut. Berdasarkan Konvensyen Penolong Pegawai Pertanian yang dibuat pada 7-9 April 2009 yang lalu menunjukkan, pemegang jawatan Gred G32 yang sedia ada sebelum kenaikkan secara KUP ini adalah seramai 56 orang (tahun 2008) dengan 20 orang daripada mereka telah memegang jawatan ini bagi tempoh 10 tahun.

Pihak KPKR memahami akan peruntukan jawatan G36 yang telah diluluskan dalam PSOR 2006 hanyalah untuk 6 orang sahaja dan kini semua peruntukan tersebut telah diisi. Ini sekaligus dilihat sebagai faktor yang menghalang peningkatan kerjaya Penolong Pegawai Pertanian di RISDA. Sedemikian, adalah dicadangkan agar jumlah peruntukan G36 ini dapat dibanyakkan dengan nisbah dan norma 1 Pusat Tanggungjawab, 1 G36. Ini dilihat akan dapat memberi peluang kepada jawatan G32 yang kini disandang oleh 77 orang untuk dinaik pangkat.


2.3 PENGWUJUDAN GRED N 27 DI PUSAT TANGGUNGJAWAB (DAERAH)
Masalah utama yang dilihat dihadapi oleh semua Pusat Tanggugjawab diperingkat daerah adalah bebanan tugas pentadbiran, kewangan, sumber manusia dan Sistem Maklumat Bersepadu (SMB) diletakkan di atas bahu seorang PKA (W 27).

Adalah dicadangkan jawatan N 27 diwujudkan di peringkat daerah bagi mengambil tanggungjawab pentadbiran dan sumber manusia dari W 27 di semua daerah dan sekaligus memudahkan pengoperasian pentadbiran dan penjawatan di RISDA Daerah.

2.4 SURAT KONTRAK BAGI PEGAWAI YANG TELAH BERTUGAS DI SARAWAK
Tahniah sekali lagi kepada pengurusan RISDA kerana kini kita dapat mengembangkan sayap ke Sabah.

Pada bulan Oktober 2009, saya telah membuat lawatan ke Sarawak dan telah mendapat maklum balas dari pegawai-pegawai yang telah berkhidmat di sana. Didapati kebanyakan pegawai-pegawai telah diberi persetujuan secara lisan oleh pengurusan untuk berkhidmat di Sarawak bagi tempoh ”2+1”.

Walaubagaimanapun, adalah dilihat lebih tersusun pentadbirannya sekiranya pegawai-pegawai yang telah diberikan persetujuan secara lisan dan mereka telah pun berkhidmat di sana diberikan satu Surat Kontrak Rasmi yang menyatakan tempoh berkhidmat adalah selama 3 tahun di Sarawak sebagaimana yang telah dijanjikan. Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya trauma atau phobia kepada pegawai-pegawai lain dari Semenanjung yang telah dan akan berkhidmat ke Sarawak dan juga Sabah pada masa depan.


3.0 PENUTUP
Terima kasih sekali kepada pihak pengurusan dan diharapkan isu dan cadangan yang dibentangkan ini dapat membantu dalam meningkatkan efisiensi operasi RISDA secara keseluruhannya.