Enjin Carian :

Thursday, February 11, 2010

CUEPACS TUNTUT OVERTIME DIBAYAR DENGAN BAYARAN TUNAI

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lalu. Katanya, untuk setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti."Kami menganggap ia satu ekspoitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja dan menjejaskan produktiviti mereka," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, untuk menyelesaikan isu itu. Bernama difahamkan langkah sedemikian dilaksanakan untuk "mengurangkan kos" dan juga untuk "meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan" jabatan berkenaan.Seorang ketua jabatan berkata, sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan memerlukan kerjasama kakitangan untuk bekerja lebih masa. Katanya, disebabkan peruntukan untuk kerja lebih masa tidak mencukupi, jabatan memperkenalkan sistem menawarkan cuti. "Kecuali untuk beberapa orang pekerja, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang," katanya. - Bernama

Tuesday, February 02, 2010

CUEPACS MINTA BICANG ISU PERSARAAN PILIHAN

KUALA LUMPUR: Cuepacs akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam. Presidennya, Omar Osman, berkata perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.

Beliau berkata Cuepacs juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya."Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (Cuepacs) tidak tahu tentangnya ... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.

Omar berkata bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka."Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen...tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja," katanya. Katanya, beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan. Beliau berkata kerajaan harus memahami masalah penjawat awam kerana kebanyakan mereka yang memohon berhenti awal bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi akibat beberapa kesulitan kehidupan. "Jika kerajaan beri 50 peratus daripada ganjaran, eloklah sikit, contohnya kalau ganjaran sebenar RM80,000 maka dapatlah dia RM40,000. Beri RM10,000 nak buat apa, satu jam sahaja boleh habis. Oleh itu, kita minta kerajaan kaji semula semula perkara ini," katanya. - Bernama