Enjin Carian :

Sunday, April 25, 2010

KELOK PERUBAHAN : STATUS KEAHLIAN KESATUAN PEGAWAI KANAN RISDA (KPKR)

Bermula November 1981 apabila pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 diluluskan, isu keahlian Pegawai Kumpulan A dalam KPKR menjadi tanda tanya kepada semua ahlinya. Walaubagaimanapun, dimaklumkan pada ketika itu KPKR dikatakan tidak tersenarai Kesatuan-kesatuan Pegawai Kanan yang disemak oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dengan hal demikian, sehingga hari ini KPKR terus mekar diterajui dan diaktifkan oleh semua ahlinya tidak mengira gred mahupun kumpulan. Sepanjang tempoh itu pentadbiran KPKR telah bekerjasama secara terus dengan pihak pengurusan dalam memastikan kebajikan ahli-ahli KPKR terjamin sepanjang perkhidmatan dengan pihak RISDA.

Namun, pada tahun 2009 JHEKS melalui surat bertarikh 16 Julai 2009 mendapati Pegawai-pegawai KPKR yang telah dilantik merupakan pegawai kumpulan A ( Gred 41 ke atas). Sejak itu respon surat demi surat telah dikeluarkan oleh pihak JHEKS dan BPSM bagi mendapatkan keterangan dengan lebih lanjut. Berdasarkan respon tersebut, hanya kebenaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) sahaja dapat memberikan pengecualian kepada Pegawai Kumpulan A untuk terus menjadi ahli KPKR.

Pada 17 Februari 2010 melalui satu surat rasmi, KPKR telah mengemukakan permohonan tersebut kepada pihak KSN atas nasihat Yang Di Pertua KPKR, Y.H Dato' Mujahid setelah bertemu dengan KSN pada 6 Februari 2010. Secara rasminya pihak KSN melalui surat bertarikh 4 Mac 2010 telah memberi respon kepada permohonan tersebut. Kandungan surat tersebut berbunyi :

" Saya telah mempertimbangkan dengan terperinci permohonan ini dan memutuskan untuk :

i. tidak membenarkan Pegawai Kanan RISDA Gred 45 ke atas untuk menjadi ahli kesatuan ; dan

ii. membenarkan Pegawai Kanan RISDA Gred 44 ke bawah menjadi ahli KPKR menurut Seksyen 27(3)(aa)(i) Akta Kesatuan Sekerja 1959 dengan syarat mereka tidak memegang jawatan yang :

(a) boleh mempengaruhi dasar di RISDA; atau
(b) tugasnya menyimpan dan mengetahui rahsia di RISDA; atau
(c) merupakan jawatan Ketua/ Timbalan Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian di RISDA terutamanya mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber manusia ; atau
(d) menjalankan peranan keselamatan. "

Melalui surat ini pihak KPKR telah akur dengan keputusan yang dibuat oleh pihak KSN dan masih dalam perbincangan dengan pihak BPSM bagi membantu dalam menyelaraskan proses peralihan dari tampuk kepimpinan yang ada kini dengan yang baru...

Pihak KPKR menjangkakan proses peralihan secara rasmi akan dibuat pada sekitar Jun 2010 ini. KPKR akan terus memaklumkan semua ahli mengenai perkembangan status KPKR ini.

No comments: